Jumat, 27 Maret 2009

kumpulan pantun

Pantun Kasih Sayang

Ada gamelan berbunyi malam,
Terdengar dari Kampung Kerekut;
Saya mencari seputar alam,
Tuan seorang yang sangat patut.

Air pasang hujan di hulu,
Maknanya mendung malam dan siang;
Hendak datang bercampur malu,
Jadi berlndung di balik tiang.

Air serbat di dalam cangkir,
Sampai ke Jawa saya curahkan;
Haram taubat saya tak mungkir,
Badan dan nyawa saya serahkan.

Anak beruk dikayu rendang,
Turun mandi di dalam paya;
Hodoh buruk di mata orang,
Cantik manis di mata saya.

Anak beruk mahu terjun,
Mati terjun di atas lonteng;
Bukan kumabuk terminum racun,
Mabuk kerana rambut keriting.

Anak geroda terbang ke kandis,
Batang padi di belah dua;
Orang muda mulutnya manis,
Binasalah badan mendengar cumbunya.

Anak Islam main pedati,
Burung merak hinggap di jati;
Kalau sungguh cinta di hati,
Sampai di kubur saya menanti.

Alang judi burung udara,
Singgah menyambar gelugut batang;
Hilang budi lenyap bicara,
Kasih mengejut bicara datang.

Ambil buluh pagarkan padi,
Rakit buluh dari seberang;
Hancur luluh rasanya hati,
Buah hati kekasih orang.



Ambil serahi mengganti tudung
Mari ditudung di atas peti
Berahikan bulan lagi terkurung
Duduklah pungguk menanti-nanti
Ambil susu di pasar ikan
Susu kambing di kali mati
Bukan lesu tak kurang makan
Lesu sebab menahan hati.

Kepuk ini kepuk Cik Khair
Buah kedondong lebat ke pokok
Saya laksana rumput di air
Untung terlindung pangkal telepuk

Terbang kumbang dari udara
Merpati meniti batang
Hati bimbang tidak terkira
Menantikan abang lambat datang

Batang melintang di tengah jalan
Batang lalang berduri-duri
Duduk menanti menghitung bulan
Menaruh walang sehari-hari

Kiri jalan kanan pun jalan
Tengah-tengah pohon mengkudu
Kirim jangan pesan pun jangan
Sama-sama menanggung rindu

Kokok ayam hari pun siang
Murai berbunyi pagi hari
Pilunya hati adik nak pulang
Bilakah boleh berjumpa lagi

Kuala Kedah ombak membuih
Awan berjurai bertindan-tindan
Bukan mudah berparak kasih
Rasa bercerai nyawa di badan

Ambil dian pasang pelita
Anak dewa makan di karang
Biar pandai bermain mata
Jangan ketahuan di mata orang

Ambil kain dibuat sumbu
Nasi santan dibuang-buang
Jangan dibuat sebagai tebu
Air ditelan hampas dibuang


Pantun Teladan


Aceh Bersunting bunga sena.
Pergi ke rumah Cik Siti;
Kasih tuan sudah sempurna,
Bagai empedu lekat di hati.

Air surut memungut bayam,
Sayur diisi di dalam kantung;
Jangan diikut resmi ayam,
Bertelur sebiji riuh sekampung.

Alang-alang menjeruk asam,
Biar lebih, kurang jangan;
Alang-alang menyeluk pekasam,
Biar sampai ke pangkal lengan.

Ambil golok di atas puan,
Hendak berakit ke Kuala Kedah;
Usah dijolok sarang tebuan,
Badan sakit sesal tak sudah.

Anak agam jual sutera,
Jual di Rengat tengah pecan;
Jangan digenggam bagai bara,
Terasa hangat dilepaskan.

Anak burung terbang perlahan,
Hinggap mari di ranting kayu;
Kalau nak beli buah setandan,
Tentu bercampur masak dan layu.

Anak gajah anak beruang,
Duduk berhenti hilangkan mengah;
Sesama gajah bila berjuang,
Pelanduk mati di tengah-tengah.

Anak todak di dalam buyung,
Ditangkap orang di Laut China;
Kalau tidak dipecah ruyung,
Manakan dapat sagunya?.


Buah pisang bertandan-tandan
Dijual orang di tepi jalan
Kalau baik buat teladan
Kalau tak baik buat sempadan

Budak-budak kupas bawang
Taruh mari di dalam mangkuk
Jangan bawa resmi keluang
Tak boleh tengok buah di pokok

Bunga cina di dalam taman
Sayang keduduk bercabang dua
Dunia ini pinjam-pinjaman
Nak tumpang duduk sehari dua

Bunga mawar banyak berduri
Disunting gadis muda belia
Jangan dikejar gunung berlari
Hilang kabus nampaklah dia

Bunga mawar sedang mekar
Bunga melur jauh terasing
Bagai enau dalam belukar
Melepaskan pucuk masing-masing

Ikan talang ikan terubuk
Udang galah udang kepai
Malang sungguh nasib Pak Kaduk
Ayamnya menang, kampung tergadai



Pantun Nasihat

Ada beras taruh dalam padi,
Ada niat taruh dalam hati.

Biasa berpisau, jangan berparang,
Biasa pada kau, jangan bawa ke orang.

Dengar cakap enggang makan buah belolok,
Dengar cakap orang terjun masuk lubuk.

Alang mandi biar basah,
Kalau tak jadi jangan menyusah.

Kayu cendana di atas batu,
Sudah diikat dibawa pulang;
Adat di dunia memang begitu,
Benda buruk memang terbuang.

Bintang tujuh sinar berseri,
Bulang Purnama datang menerpa;
Ajaran guru hendak dicari,
Mana yang dapat janganlah lupa.

Pijak galah sambil berlari,
Rupanya hujung sudah patah;
Banyakkan usaha kepada diri,
Masa diri muda dan mentah.

Menaman bunga di dalam pasu,
Bunga melati dan bunga pandan;
Janagan ikut hawa nafsu,
Kelak nanti binasa badan.

Tetakan parang ke dahan sena,
Belah buluh taruhlah temu;
Barang kerja takkan sempurna,
Bila tidak menaruh ilmu

Terang bulan di malam sepi,
Cahaya memancar ke pokok kelapa;
Hidup di dunia buatlah bakti,
Kepada saudara ibu dan bapa

Angin bertiup kembangkan layar,
Haluan menuju ke Pekan;
Hendaklah hidup berikhtiar,
Kemudia serahkan kepada Tuhan.

Riuh-rendah di pintu muara,
Lebai ketayap tangkap pedukang;
Isteri yang lemah jangan didera,
Nanti merayap di pintu belakang

Jangan ditarik lembu garang,
Kalau ditarik banyak susahnya;
Jangan dirosak anak orang,
Kalau rosak maut padahnya

Jangan gergaji pokok talas,
Nanti lesung dimakan pahat;
Jangan menjadi orang malas,
Perut kosong badan tak sihat

Kampung Mengkasar, Sungai Mat Sulang,
Setentang dengan Pulau Melana;
Jangan selalu berharapkan orang,
Perbuatan demikian tersangat hina



Pantun Pengajaran

Air jernih sajaknya landai,
Jalan raya titian batu;
Berunding cerdik dengan pandai,
Faham dua menjadi satu.

Alam pura Raja Mahkota,
Pergi berperang ke negeri Basanah;
Ingat-ingat mengeluarkan kata,
Zaman sekarang banyak fitnah.

Ambil kapak belah ke kundur,
Baik sebelah si ibu kaki;
Walau setapak saya tak undur,
Itu adab anak laki-laki.

Anak ayam turun sepuluh,
Mati satu tinggal sembilan;
Tuntut ilmu bersungguh-sungguh,
Biar satu jangan ketinggalan.

Anak ayam turun sepuluh,
Mati seekor tinggal sembilan;
Ku tuntut ilmu bersungguh-sungguh,
Akan bekalan hari kemudian.

Anak ayam turun sembilan,
Mati seekor tinggallah lapan;
Akan bekalan di hari kemudian,
Di dalam kubur berdinding papan.

Anak ayam turunnya lapan,
Mati seekor tinggallah tujuh;
Di dalam kubur berdinding papan,
Hancur luluh seluruh tubuh.

Anak Cina mengail ruan,
Apa umpan labah-labah;
Orang buta jangan dilawan,
Kita yang celik jadi meraba.

Anak gajah mandi di sumur,
Ambil galah dalam perahu;
Orang muda jangan takbur,
Cubaan Allah siapa tahu.

Anak itik anak angsa,
Bertelur di tanah merah;
Jangan dipilih kerana bangsa,
Sama kita berdarah merah.

Anak siamang terkena duri
Anak buaya terenang-renang
Jika malang menimpa diri
Bawalah tertawa supaya senang

Angin bertiup kembangkan layar
Haluan menuju ke Pelabuhan
Hidup hendaklah sentiasa berikhtiar
Kemudian serahkan pada Tuhan

Asam jawa pokok di hutan
Dibawa orang tanam di desa
Ada nyawa ada harapan
Tidak ku mahu berputus asa

Asam kandis asam gelugur
Ketiga asam si riang-riang
Menangis mayat di pintu kubur
Teringat badan tidak sembahyang

Asamnya kandis asam gelugur
Ketiga dengan asam remenia
Nyawa menangis di pintu kubur
Hendak kembali ke dalam dunia

Ayam rintik di tepi kota
Mencari makan di pagi hari
Kawan tertawa banyak bersua
Bila menangis seorang diri

Baik-baik menanam selasih
Jangan sampai jatuh ke tanah
Baik-baik memilih kasih
Jangan sampai badan meran

Baik-baik mengail tenggiri
Takut terkena ikan parang
Baik-baik merendah diri
Jangan menjadi hamba orang

Bertentang dengan Air Berbagi
Dipanggil Tanjung Pangtua
Masa yang ada mesti dijagai
Supaya hidup aman sentosa

Bintang tujuh sinar berseri
Bulan purnama datang menerpa
Ajaran guru hendak dicari
Mana yang dapat janganlah lupa

Pantun Adab

Ada padi adalah beras,
Bertanak nasi periuk tembaga;
Ada budi adalah balas,
Orang berbudi kita berbahasa.

Ada seekor burung helang,
Suka bertenggek di atas sarang;
Hancur daging bercerai tulang,
Budi yang baik tetap dikenang,

Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman;
Kalungan budi junjungan kasih,
Mesra kenangan sepanjang zaman.

Ambil pensel menulis surat,
Surat ditulis tujuh cerita;
Barang cantik daya memikat,
Bahasa indah payung mahkota.

Ambil tali panjang sedepa,
Makan manggis dengan bijinya;
Sampai mati takkan lupa,
Kerana manis hati budinya.

Ambilkan saya buah delima,
Masak sebiji di balik daun;
Budi tuan saya terima,
Jadi kenangan bertahun-tahun.

Anak merak mati tersangkut,
Mati dipanah Seri Rama;
Resam di dunia jangan disebut,
Orang yang mati meninggalkan nama.

Angin melabung layar mengembat,
Jurumudi bersukacita;
Orang sombong senang diubat,
Orang berbudi susahlah kita.

Tumbuh cendawan di tepi paya,
Di bawah pohon tembaga suasa;
Tuan berbudi kepada saya,
Hendak dibalas tiada berkuasa.

Asam kandis mari dihiris,
Manis sekali rasa isinya;
Dilihat manis dipandang manis,
Lebih manis hati budinya.

Baju bercorak tiada benia,
Pakaian anak Panglima Garang;
Emas dan perak pengaruh dunia,
Budi yang baik dijunjung orang.

Baru beli di kedai Cina,
Kain celah dibuat cukin;
Kita hidup resam di dunia,
Tidak pilih kaya miskin.

Dari Rembang ke Banyuwangi,
Pakai baju sutera kerawang;
Jikalau kembang asalnya wangi,
Sampai layu tidak dibuang.

Yang kurik kundi,
Yang merah saga;
Yang baik budi,
Yang indah bahasa.